Monday, January 11, 2010

QALAM ULAMA' antara SYARIAT-THORIQAT-HAKIKAT-MAKRIFAT-


Kenal tak syeikh abdul Qadir Jilani? Kalau kenal, mungkin anda tahu yang beliau adalah ulama tersohor yang merupakan golongan ahli sufi yang terkenal. Beliau juga merupakan anak kepada Abu Soleh(dari keturunan cucu-cicit Rasulullah s.a.w dr. Saidatina Fatimah) dan ibunya ummu khair. Kata syeikh abdul Qadir, sesiapa yang mencari hakikat tanpa syariat adalah batal dan sesiapa yang mempelajari syariat tanpa hakikat itu adalah rugi. Bagaimana pemahaman kita tentang qalam ini? Di sini dinukilkan pendapat saya, mudah-mudahan inilah permulaan terbaik untuk mengajak diri saya sendiri dan sahabat melihat kepada keperluan ilmu syariat, thoriqat, ilmu hakikat seterusnya mengenal Allah. Wallahua’lam.

Sebenarnya mempelajari syariat adalah kewajipan kita. Syariat berkait rapat dengan perlaksanaan setiap rukun Islam dan Iman berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Syariat menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk para hambanya baik tentang akidah, ibadah, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di dunia ini. Dengan pemahaman yang mendalam terhadap syariat Islam, sudah cukup menjadikan seseorang mukmin itu bertaqwa kepada Allah. Apabila berlakunya penyelewangan akidah dan sebagainya, tidak lain dan tidak bukan kerana jahilnya seseorang terhadap hukum syariat. Begitu juga bila berlaku maksiat dan kerosakan, juga disebabkan manusia jahil terhadap hukum syariat. Pendek kata semua fardhu ain dan fardhu kifayah terangkum dalam syariat. Sebelum kita pandang kepada orang lain, cuba semak diri kita sendiri, adakah kita ni dah settle bab-bab syariat ni? Bila orang tanya hukum itu dan ini, kita tahu tak? Dan bila kita sendiri menjalani kehidupan sehari-hari, kita tahu tak bezakan mana satu yang syubhah dan sebagainya? Sebagai contoh mudah, kita tahu tak hukum dalam solat, mana satu yang ab'ad atau tidak? mana satu takbir yang disunatkan dalam rukun? adakah sah membaca al-Fatihah tanpa Bismillah? boleh tak berimamkan orang yang solat sunat atau solat jamak sedangkan kita solat fardhu? bila kurang rakaat dan sedar selepas salam apa yang harus dibuat? dan banyak lagi persoalan syariat yang kawan2 di makmal selalu tanya. Ni belum masuk bab puasa, muamalat, harta pusaka, pengurusan jenazah dan sebagainya. Semuanya berkait dengan syariat. Adalah salah kalau kita fikir hanya ustazah je yang perlu tahu ni semua, dan kita tak perlu tahu... sedangkan tiada bezanya antara kita dengan ustazah di alam barzakh dan di mahsyar nanti. Kita semua akan disoal dengan soalan2 yang sama, takde la jawatan ustazah menyebabkan soalan yang ditanya susah sket sebab dia banyak tahu. Yang pasti perbezaan di sisi Allah adalah taqwa. Tak kira sape pun kalau nak jadi orang yang bertaqwa perlu arif dalam syariat Islam. Sebabnya kejahilan boleh menyebabkan kita tergelincir dari landasan agama. OK, ni baru bab syariat.. belum masuk thoriqat..

Sebenarnya orang yang belum menguasai syariat dengan sepenuhnya tidak akan mampu berada di atas thoriqat (jalan).. Ni bukan thoriqat yang sesat tu, yang ni maksud saya thoriqat Islam (jalan mengenal Allah). Sebab ilmu thoriqat merupakan landasan yang dilalui oleh seorang Mukmin yang sangat memahami syariat untuk melihat hakikat sebenar setiap perkara yang ditentukan Allah. Sebagai contoh, sekiranya kita tak tahu rukun-rukun solat dengan sepenuhnya, kita tidak akan merasai hakikat kemanisan solat. Sebabnya bab syariat kita belum settle lagi. Yela, kalo dah bacaan tak sempurna, maksud bacaan tak difahami serta sunnat dan wajib dalam solat tak dapat dibezakan, bagaimana nak mendapat khusyuk?. Jalan ke arah mencapai hakikat dalam setiap hukum yang ditetapkan Allah itu dikenali sebagai ilmu thoriqat. Maka segala jalan yang ditentukan oleh syarak yang di bawa oleh Rasulullah SAW. seperti melaksanakan rukun fardhu, membanyakkan sembahyang sunat dan puasa dan zikirullah serta membanyakkan membaca dan mengkaji Al-Quran, memperdalami ilmu agama, berbuat kebajikan kepada golongan fakir dan lain-lain itu dikatakan "thoriqat", dan orang yang menjalankannya dan mengerjakannya mengikut syariat dinamakan "Ahli Thoriqat". Maka jelaslah dan nyatalah bahawasanya thoriqat itu terangkum dalam syariat dan tidak keluar daripada syariat Islam di mana ianya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firmanNya dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud;

"Dan apa-apa yang telah dibawa oleh Rasulullah itu maka ambillah olehmu dan apa-apa yang ditegah olehnya, maka berhentilah daripada mengerjakannya".

Namun ada di kalangan ahli thoriqat di Malaysia (mereka ni ngaku ahli thoriqat) mudah terpesong atau sesat sebabnya mereka sendiri belum menguasai syariat. Apa yang saya pernah dengar dan baca, sesetengah ahli thoriqat ni (yang sesat) bila gi rumah tok guru siap boleh salam ngan cium lagi tangan isteri tok guru. Kononnya berada di atas thoriqat tapi ilmu syariat diorang tak tahu(hancur). Pergaulan (ikhtilat) pun tak reti jaga. Akibat ceteknya kefahaman syariat, mereka mudah terpedaya dengan ajaran tok guru yang salah.. Ni baru thoriqat.. atas sket je dari syariat.. Tapi bagi orang2 yang benar2 ahli dalam bab syariat, secara mudahnya mereka adalah orang-orang yang berada di atas landasan thoriqat yang benar.

Ok, beralih kepada ilmu hakikat.. apabila syariat seseorang tu dah faqeh atau ‘ahli’, dan menempuh jalan thoriqat dalam memahami setiap rukun, barulah akhirnya seseorang itu mampu melihat hakikat. Dalam setiap amal perbuatan dan segala kejadian alam, hakikatnya adalah Allah Taala kerana jika tidak wujud Allah Taala tentu sekali tiadalah wujud Alam ini dan segala macam isinya. Maka apa-apa yang ada pada makluk dan apa-apa yang terbit dari makhluk itu semuanya Allah Taala yang menjadikannya seperti firman Allah yang bermaksud;

"Dan bermula Allah itulah yang menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu perbuatkan" (Surah As-Shofat: 96).

Maka zahir ayat ini menunjukkan bahawasanya hakikat bagi kita dan perbuatan kita ialah Allah Taala, bukan dari kita kerana makhluk tiada kuasa sekali-kali. "Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah". Maka hendaklah beriman dan percaya dan mengi'tiqadkan bahawa sekelian perkara ini adalah kekuasaan Allah Taala, cuma zairnya sahaja disandarkan pada makhluk.

Untuk mencapai hakikat dan mengenal Allah Taala ini, maka ianya juga termasuk dalam tuntutan Syariat dengan mempelajari Ilmu Tauhid atau Ilmu Usuluddin atau Ilmu Sifat 20. Mana mungkin untuk mengetahui hakikat Allah Taala dan percaya, beriman dan beri'tiqad dengan i'tiqad yang sebenarnya sekiranya tiada Ilmu mengenai Ketuhanan. Demikian juga halnya kewajiban untuk mempelajari Ilmu Tasauf juga merupakan tuntutan "syariat" supaya boleh membezakan antara yang Haq dan yang batil.

Akhirnya, seseorang yang memiliki atau memahami hakikat setiap rukun akan mampu menterjemah hadith dan mentafsir al-Quran dengan baik. Setiap firman Allah dapat diterjemahkan dalam bentuk yang jelas dan tepat. Dan orang-orang sebegini sebenarnya adalah orang-orang yang mampu mencipta sejarah mereka sendiri seperti imam syafe’i yang mampu memperincikan hukum al-Quran dalam bentuk yang mudah difahami dan diterima pakai oleh sebilangan besar ummat Islam. Dan mazhab syafe’i ini menjadi pemudah dalam setiap urusan ummat manusia. Bila dah ikut mazhab, manusia2 yang masih belum mengusai syariat hanya perlu mengikut hukum mazhab tanpa perlu bersusah payah mentafsir sendiri al-Quran dan menghafaz setiap hadith Rasulullah. Ramai lagi di kalangan ulama tersohor yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang ilmu hakikat kerana mereka ini adalah dari golongan huffaz dan ulama hadith yang menguasai keseluruhan ilmu syariat. Contohnya seperti imam Hambali, Maliki, Hanafi, Syed Qutb, Hasan al-Banna, Syeikh abd Qadir, ibnu Taimiyyah, Imam Ahmad, Baihaqi, al-Ghazali, at-Thobari dan lain-lain. Tapi sayang, mereka ni adalah dari golongan tabi’ tabiin(ulama zaman dahulu) dan tidak seorang pun ummat hari ini yang mampu mengikut jejak mereka. Yang tinggal hari ini hanyalah kitab2 yang ditinggalkan untuk manusia2 dhaif seperti kita untuk mengkajinya. Apa yang saya tahu, setiap perkara yang ditafsirkan oleh mereka adalah bersandarkan ketinggian ilmu pengetahuan dan bukan kepada logik akal semata mata. Jika kita ingin meletakkan diri kita setanding dengan mereka(cuba memahami hakikat) atau ingin mentafsir sendiri al-Quran dan hadith(kerana tak bleh terima pandangan mereka) pastikan kita ini dari kalangan orang yang benar-benar sudah menguasai syariat islam serta haffaz al-Quran dan keseluruhan hadith sahih. Bahkan kita dibenarkan tidak mengikut mana-mana mazhab seandainya penguasaan kita terhadap ilmu syariat adalah sangat tinggi. Pada waktu itu barulah kita boleh meyakini bahawa pendapat kita adalah kerana ilmu yang luas, bukan semata-mata memberi pendapat tapi masih jahil dalam ilmu, akhirnya syok sendiri.

Rujuk balik Qalam Syeikh abdul Qadir Jilani tadi, mencari hakikat tanpa syariat adalah batal dan sesiapa yang mempelajari syariat tanpa hakikat itu adalah rugi. Kalau syariat masih jahil tapi dah melihat hakikat, hakikat tu batal sebab ramai orang yang mengaku mengetahui hakikat ilmu pengetahuan tapi masih jahil dalam syariat Islam. Contohnya macam ajaran ayah pin tu, kononnya dah boleh berinteraksi dengan kerajaan langit dan sebagainya(mereka merasa itu hakikat) tapi yang sebenarnya hakikat mereka itu batal kerana kejahilan mereka pada ilmu syariat. Kalo tak caya, cuba tanya ayah pin hukum2 syariat gerenti tak bleh jawab. Kita sendiri, pastikan diri kita memahami syariat dengan mendalam kalau nak memahami hakikat pada setiap hukum dan firman Allah. Takut2 kita boleh tersimpang dan tersasar dari landasan sebenar kerana kejahilan kita. Dan apabila kita sudah menguasai syariat, barulah kita akan dapat memahami hakikat setiap perkara.. kerana tanpa hakikat, kita akan rugi. Sekarang ni muhasabah diri kita, sejauh mana pemahaman kita pada syariat Islam. Kalau masih cetek, belajarlah... utamakan syariat.. tinggalkan dulu perkara2 hakikat yang cuba kita cari kerana hakikat hanya boleh dilihat oleh mata hati yang diterangi tengan ilmu pengetahuan yang mantap. Saya menasihatkan diri sendiri dan sahabat.. Dalamilah syariat Islam..

Ilmu makrifat pula..sedikit sekali dalam pengetahuan manusia.. dan hanya Allah yang lebih mengetahui. Ilmu ini hanya dikurniakan kepada hamba2 yang terpilih dan sudah melihat hakikat dalam setiap ketentuan Allah. Orang yang berada pada tahap ini akan dapat mengenal Allah(kenal bukan beerti lihat-kenal melalui asma’ dan sifat2 wajib), khusyuk dalam setiap pekerjaannya, dan sentiasa mengingati Allah pada setiap hembusan nafasnya. Ketika solat, mereka dapat merasakan seolah-olah mereka sedang diperhatikan Allah hingga gementar setiap urat saraf kerana ketakutan dan malu kepada Allah. Mereka tenggelam dalam kekhusyukan dan rasa cinta kepada Allah. Mereka yang memiliki ilmu makrifat ini, seandainya melakukan pekerjaan, mereka akan melakukan bersungguh-sungguh kerana niat mereka hanya kerana Allah. Mereka akan sesungguh hati mencari dan menggali ilmu Allah supaya mereka dapat mengenal Allah dan setiap usaha mereka akan memantapkan akidah serta mendekatkan diri kepada Allah. Kerana itu, mereka terus-menerus melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara2 yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah. Seandainya, mereka tersilap atau terlupa, mereka segera bertaubat dengan taubat nasuha dan istiqamah dalam beramal ibadah. Orang-orang sebeginilah yang akan menggoncang dunia dengan kehebatan ilmu kerana keihklasan mereka kepada Allah. Mereka akan mampu mencipta sejarah dan mencorak tamadun. Golongan sebegini akan menguasai dunia dengan ilmu pengetahuan dan kekuatan iman. Percayalah, Islam akan tertegak kerana adanya golongan manusia yang sebegini… Islam akan kembali gah seandainya manusia2 yang mengaku tiada tuhan selain Allah dan Muhammad Rasulullah sudah menguasai syariat, thoriqat, hakikat dan makrifat. Kerana segala macam ilmu di dunia ini terangkum di bawah syariat Allah. Tidak ada satupun ilmu yang terpisah dari hukum Allah. Cuma hati2 yang buta tidak dapat melihatnya. Kerana itu, mereka yang mengaku dan merasa maju dengan ilmu mereka tapi meninggalkan tauhid kepada Allah akhirnya akan menemui kehancuran. Percayalah, masyarakat yang mengetepikan hukum Allah adalah masyarakat yang akan musnah kerana kerosakan sosial dan moral mereka ibarat barah yang menular.. senyap namun akhirnya menjadi kronik.

Waalahua'lam

Asmah Alias-11 Jan 2010

1 comment:

  1. Tuliisan merik tapi banyak lagi yang x di kuoasan sebab nya banyak yang tak paham tapi buat buat paham .kalau yakin oaham lah

    ReplyDelete