Wednesday, February 9, 2011

PERSOALAN : CINTA ISLAMIK

Sedang saya membaca beberapa post di halaqah.net, ada satu post yang menarik perhatian.. beberapa halaqian di sana mengajukan soalan berkaitan perkara lumrah bagi manusia, iaitu cinta antara lelaki dan wanita bukan mahram.


Soalan 1 : cinta islamik tu mcm mana ek?.

Soalan 2 : mcm mn cara nak kenal org? xkan jumpa,pastu terus ajak kawen? Lawak pulak.. mcm mn cara dlm islam.... harap ade yg boley guide....

Soalan 3 : ceritakan sejarah mcm mn dia jumpa isteri dia? dan mcm mn dia bkawen? mgkin leh jadi panduan remaja semua...

Soalan 4 : betul tuh..cube seseorang bagi guide skit cara nk berkenalan cra islamic..

Soalan 5 : hah..ada sesapa yang tahu tak?..nak tahu jugak bagaimana caranya..(jumpa tengah jalan terus ajak kawen..kelakar la pulak...)

Soalan 6 : Nak sms boleh tak? Habis tu mcmmana nak kenal?

Soalan 7 : Kalau betul2 nak jaga semua benda, lambat la kawen..


Berikut penjelasan ringkas saya kepada halaqian dan jawapan tersebut telah mendapat maklum balas positif daripada kesemua halaqian di halaqah.net. Alhamdulillah, mudah-mudahan mereka faham akan intipatinya.

*** Jawapan

Kembali kepada pokok pangkal dalam syariat Islam, kita harus melihat kepentingan baitul muslim dalam membina keluarga, kerana baitul muslim itulah kaedah paling berakhlak yang disunnahkan. Masalah timbul apabila kita tidak mempercayai konsep ta'aruf dan tidak memberi thiqah (kepercayaan) kepada orang tengah. Kita seharusnya percaya bahawa apa yang digariskan oleh syariat Islam merupakan model terbaik yang tentu sekali membuahkan hasil apabila dipraktikkan.

Sekiranya mukminah solehah mampu menjaga dirinya daripada menjadi perhatian, tentu sekali dia tidak terlibat dengan anasir cinta di tempat belajar/ tempat kerja. Seandainya terjadi sedemikian (sudah/sedang bercinta), haruslah wanita tersebut mencari penyelesaian dengan memutuskan untuk meneruskan ta'aruf dengan kehadiran ahli keluarga atau melalui orang tengah yang sudah berkahwin dan dipercayai. Bercinta dan berkenalan selama mana sekalipun tidak memberi jaminan untuk benar2 mengetahui hati-budi pasangan kerana pemerhatian manusia seringkali dikaburi fatamorgana dunia.

"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah : 216)

Sememangnya ramai yang mendakwa mereka bercinta mengikut cara Islam bahkan tiada niat menghampiri zina.. namun harus diingat zina itu sering terjadi tanpa niat pada asalnya. pancaindera kita senang sekali menghampiri zina tanpa disedari. Bila sudah cinta, suara yang didengar terbit rasa cinta, wajah yang ditatap terbit rasa cinta waima pendapat2 ilmiah pun dilontarkan dengan rasa cinta..

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Telah ditulis bagi tiap Bani Adam bahagian dari zina, tidak mustahil dia akan melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”

Kaedah yang tepat untuk mengenali pasangan adalah melalui penyiasatan latar belakang melalui orang tengah dan juga ahli keluarga yang terdekat. Wasilah melalui perantaraan sebegini merupakan langkah terbaik untuk mengetahui personaliti dan ciri-ciri pasangan tersebut. Bahkan kaedah ini telah dipraktikkan oleh saidatina Khadijah yang bertanyakan akhlak Rasulullah melalui Maisarah (seorang hamba yang sentiasa menjalankan perniagaan bersama Rasulullah). Mengikut riwayat hadith, method merisik melalui utusan ini juga biasa dilakukan oleh Rasulullah saw. iaitu apabila baginda hendak menikahi seorang wanita, baginda akan mengutus seorang wanita lain untuk memeriksa perkara yang tersembunyi (padanya).(HR. Thabarani dan Baihaqi).

Sekiranya seorang mukmin yang soleh ingin memperisterikan seorang wanita yang tertentu, hendaklah melalui proses yang sama iaitu ta'aruf dengan dihadiri orang tengah. Bahkan Nazhar (melihat pasangan) secara berulang-ulang adalah dibenarkan semasa proses ta'ruf. Hal yang demikian terjadi ketika Al-Mughirah bin Syu’bah radhiyallahu ‘anhu meminang seorang wanita, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepadanya, “Apakah engkau telah melihat wanita yang kau pinang tersebut?” “Belum,” jawab Al-Mughirah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

انْظُرْ إِلَيْهَا، فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا

“Lihatlah wanita tersebut, kerana dengan seperti itu akan lebih membantu mengeratkan hubungan di antara kalian berdua (kelak).” (HR. An-Nasa`i no. 3235, At-Tirmidzi no.1087. Dishahihkan Al-Imam Al-Albani Rahimahullahu dalam Ash-Shahihah no. 96)

Sepanjang proses ta'aruf, penyiasatan terperinci boleh dijalannkan termasuk bertanyakan mengenai susur galur keluarga dan masalah kesihatan yang mungkin dihidapi oleh pasangan. Di zaman yang serba canggih ini, adalah lebih baik sekiranya pasangan tersebut menjalankan ujian kesihatan seperti saringan HIV, Hepatitis B dan Talasemia. Perkara ini sangat penting demi menjamin kesejahteraan hidup berkeluarga. Sekiranya pihak lelaki/wanita berpuas hati dengan pasangan masing-masing, maka bolehlah diteruskan dengan Khitbah (peminangan).

Peminangan hanya perlu melibatkan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak kerana proses ta'aruf masih berterusan. Sekiranya sepanjang tempoh bertunang, ada pihak ingin memutuskan pertunangan, maka perkara tersebut bukanlah sesuatu yang memalukan kerana tiada pihak lain yang mengetahuinya. Majlis pertunangan yang diadakan besar-besaran dan dicanangkan kepada seluruh masyarakat bukanlah perkara yang disyariatkan dalam Islam. Selain itu, pasangan yang sudah bertunang ini hendaklah menjaga adab pergaulan mereka dan tidak berbincang melainkan perkara yang aula (utama) dan penting.

Ketika Asy-Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullahu dimintakan fatwa tentang seorang lelaki yang telah meminang seorang wanita, kemudian di hari-hari setelah peminangan, dia biasa bertandang ke rumah si wanita, duduk sebentar bersamanya dengan didampingi mahram si wanita dalam keadaan si wanita memakai hijab yang syar’i. Berbincanglah si lelaki dengan si wanita. Namun pembicaraan mereka tidak keluar dari pembahasan agama ataupun bacaan Al-Qur`an.

Lalu apa jawaban Syaikh rahimahullahu? Beliau berfatwa, “Hal seperti itu tidak seharusnya dilakukan. Kerana, perasaan pemuda bahawa wanita yang duduk bersamanya telah dipinangnya secara umum akan membangkitkan syahwat. Sementara bangkitnya syahwat kepada selain isteri adalah haram. Sesuatu yang menjadi pengantaraan kepada keharaman, hukumnya haram pula.” (Fatawa Asy-Syaikh Muhammad Shalih Al-Utsaimin, 2/748).

Selepas proses peminangan, dan tetap hati mereka terhadap pasangan, maka bolehlah diteruskan kepada pernikahan. Perlaksanaan majlis walimatul- urus juga haruslah mengikut syariat yang ditetapkan Islam. Sila rujuk post-post yang lain untuk mendapat pencerahan mengenai walimatul-urus mengikut lunas Islam.

Method yang diperjelaskan adalah mengikut sunnah yang mana telah dibuktikan kejayaannya oleh Rasulullah, para sahabat, tabi' dan tabi'in. Sekiranya anda ingin menjadi sebahagian dari mereka, maka ikutlah atsar yang telah mereka jalani. Bahkan ada sebahagian dari sahabat kita di akhir zaman ini terselamat dari fitnah dengan menjadikan sunnah Rasulullah s.a.w sebagai Qudwah hasanah (contoh ikutan yang baik). yakinilah bahawa kaedah ini tidak pernah lapuk, bahkan ia akan menyelamatkan anda dari maksiat dan kerosakan.

Abdullah bin Mas’ud r.a juga mengatakan: “Barangsiapa di antara kalian yang ingin meneladani, hendaklah kalian meneladani para Sahabat Rasulullah saw. Kerana sesungguhnya mereka adalah ummat yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit bebannya dan paling lurus petunjuknya serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang dipilih Allah untuk menemani Nabi-Nya, untuk menegakkan agama-Nya, maka kenalilah keutamaan mereka serta ikutilah atsar-atsarnya, karana mereka berada di jalan yang lurus.” [Dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Baar dalam kitabnya Jami’ Bayanil Ilmi wa Fadhlih II/947 no. 1810, tahqiq Abul Asybal Samir az-Zuhairy]

*** Berkenaan dengan jodoh yang lewat, berbaik sangkalah dengan Allah.. samada cepat atau lambat, segalanya sudah ditentukan Allah. kiranya sudah berusaha menjaga akhlak dan memelihara pergaulan namun masih belum bertemu dengan yang soleh/solehah, bermujahadahlah. koreksi kembali hubungan kita dengan Allah dan manusia amnya. tenung-tenunglah ke dalam mata ibu-bapa yang tersembunyinya redha, Lihat-lihatlah pada tali sillaturrahim yang mungkin putusnya tidak disengaja.. bahkan perhatikan hidup seharian kita, adakah urusannya terjaga dan terselia? Kalau membasuh dan melipat baju sendiri pun masih bermasalah, apatah lagi membina keluarga.. mampukah menyempurnakan urusan rumahtangga yang berpuluh kali tuntutannya? mungkin itulah salah satu rahmat Allah.. mengapa masih belum berumahtangga, Allah ingin memberi peluang melengkapkan diri dan bersiap siaga, menjadi calon yang lebih mantap persiapannya.

analoginya cukup mudah, seorang anak yang masih kecil, darjah 6 memohon kepada ayahnya agar dibelikan motosikal untuk ke sekolah. Masakah ayahnya akan mengabulkan permintaan anak tersebut? kerana kasih-sayang, ayahnya menolak permintaan itu dengan niat akan memberikannya apabila tiba waktu yang sesuai demi mengelakkan mara bahaya. (analogi sahaja)

begitu juga dengan manusia. apabila ada permintaan belum tertunai, ada rahmat dan kasih sayang Allah disebaliknya. Segalanya untuk kebaikan manusia. termasuklah dalam urusan jodoh. walaupun sudah lewat usia, yakinlah bahawa janji Allah itu benar.. bila sampai waktunya jodoh pasti tiba.. elakkan maksiat dan tingkatkan kendiri.. agar nanti bila tiba waktunya, itu lah detik tepat bagi seorang hamba menemui jodohnya.. (itu lah waktu paling selamat untuk anak tadi mendapatkan motosikalnya)..

nilaian manusia di sisi Allah adalah taqwa.. bukan awal atau lewatnya jodohnya.. mantapkan iman.. jangan takut pada usia... jagalah hak Allah.. Allah pasti akan menjaga hakmu..

Wallahua'lam. Semoga terpelihara kita semua dari fitnah/maksiat/syahwat yang akan meruntuhkan baitul muslim dan ketamadunan ummah.

2 comments:

  1. Assalam'mualaikum.....
    Thanks kak as bagi information nie.....
    Ada juga kawan2 memberikan pandangan mereka ttg ber'couple nie dgn saya dulu....
    Bila ditanya ttg berkawin tanpa dating nie ..waktu tu tak tahu nak jawab....
    Cuma jawapan saya pada waktu tu berkenalan lah si dia melaluai orang tengah yang dipercayai...
    Tapi jawapan mereka ttp sama.....nak terang lebih2....saya masih kurang ilmu untuk berbahas....

    wasssalam

    ReplyDelete
  2. Tak sangka dayah follow blog akak.. thanks.. ini cuma sebahagian pendapat, setiap penjelasan yg lengkap tntg apa2 masalah sekalipun ada dalam al-Quran dan hadith.. Memang aturan Islam adalah yg TERBAIK.

    ReplyDelete